id=khairul4189">

Saturday, February 12, 2011

Anaemia

Pengenalan

Apakah Anaemia?
Ia adalah suatu keadaan dimana sel darah merah yang matang yang membawa oksigen ke seluruh tisu badan berkurangan. Fungsi ini dijalankan oleh protein yang dinamakan haemoglobin. Anaemia biasanya bermaksud haemoglobin yang tidak mencukupi. Paras Haemoglobin yang normal adalah diantara 11.5 hingga 16.5g/dL untuk perempuan dan 12.5 hingga 18.5g/dL untuk lelaki.
 
anaemia







Sebab-sebab anaemia
  1. Kehilangan darah (samada akut atau kronik)
    • Kehilangan darah yang akut boleh dilihat semasa kemalangan jalan raya atau selepas pembedahan. Kehilangan darah yang melebihi 500ml biasanya memerlukan gentian darah.
    • Kehilangan darah kronik biasanya berlaku semasa kedatangan haid yang berlebihan, infestasi cacing dan lain-lain keadaan.
  2. Pembentukan sel darah merah yang tidak mencukupi dari tulang sum-sum.
Ini mungkin disebabkan oleh :
    • Kekurangan faktor penting seperti zat besi,, vitamin B12, folate dan erythropoietin.
      • Pembesaran yang mendadak bagi remaja, menyebabkan penambahan keperluan zat besi dimana ianya melebihi paras penyerapan zat besi.
      • Kitaran haid bagi wanita dengan kehilangan anggaran 30mg zat besi setiap bulan menyebabkan kekurangan zat besi.
    • Faktor Toksik : Penyakit Inflamasi, kegagalan hati dan ginjal, ubatan.
    • Kekurangan hormon : Paras hormon tiroid rendah.
    • Serangan tulang sum-sum : kanser darah, penyakit tulang sum-sum.
    • Gangguan pembentukan sel darah merah: keadaan seperti Talasemia.
  1. Pemusnahan sel darah merah yang berlebihan
Mungkin berlaku didalam beberapa jangkitan atau pengambilan sesuatu ubat.
Jenis Anemia yang biasa berlaku ialah :
    • Anemia disebabkan kekurangan zat besi.
    • Talasemia
Tanda-tanda dan gejala
Ramai remaja menghidapi Anaemia dan tidak mengetahui sebabnya.
Gejala-gejala termasuk:
  • Keletihan setiap masa
  • Pening
  • Sesak nafas apabila melakukan atktiviti fizikal
  • Kulit pucat
  • Kadar denyutan jantung yang cepat
  • Kurang daya ingatan
  • Kurang berat badan
sleep in class
Komplikasi
Jika Anaemia sangat teruk ia akan menyebabkan :
  • Kegagalan jantung dimana fungsi jantung menjadi lemah dan tidak mencukupi.
  • Masalah semasa mengandung seperti melahirkan anak pramatang dan pertumbuhan janin yang terencat semasa berada didalam kandungan.
Rawatan
Pemeriksaan haemoglobin untuk menentukan samada anda menghidapi anaemia atau tidak boleh dilakukan di klinik berhampiran dengan anda.
Rawatan Anaemia bergantung kepada jenis Anaemia yang dihadapi.
  • Jika ia disebabkan oleh masalah perubatan seperti Talasemia, Leukaemia, rawatan khusus perlu dilakukan.
  • Jika ia disebabkan oleh kekurangan zat besi, maka ia perlu mengambil makanan seimbang yang mengandungi zat besi yang tinggi dan juga pil tambahan zat besi. Sila lihat Jadual 1 untuk kandungan zat besi dalam makanan.
Tips lain: Untuk merawat kekurangan zat besi :
  • Dinasihatkan mengambil pil tambahan zat besi bersama dengan vitamin C untuk membantu penyerapan zat besi.
  • Penyebab utama seperti infeksi cacing dan keradangan pada usus perlu dirawat.
Jadual 1: Kandungan Iron didalam makanan
Makanan
Saiz Hidangan
Zat Besi (mg)
Hati, Ayam
2 keping,105g
12.8
Peha ayam
1 ketul kecil,125g
1.0
Daging lembu tanpa lemak
1 keping,268g
5.9
Hati, Lembu
1 keping,283g
11.1
Tuna
1 ketul,73g
1.1
Kerang
10 Biji,86g
2.0
paru
½ Cawan,2g
7.7
Oats di proses
½ cawan
1.8
Tauhu
1 keping,107g
3.4
Kacang
1 cawan,154g
4.5
Bayam
1 cawan dicincang,64g
2.4
Kismis
39g, ¼ cawan
1.4
Roti
1 keping,25g
0.8
Nasi
128g
0.3
Rujukan : Nutrition Composition of Malaysian Food, 4th Edition. Institute for Medical Research, 1997.
Pencegahan
Makan makanan seimbang setiap hari. Sila lihat Piramid Makanan.

Amenorea (Tiada Haid)


Amenorea bermaksud tidak datang haid ( menstruasi)) Ia juga dikenali sebagai ovari tidak mengeluarkan telur ( anovulation) Dalam kebanyakan kes, ia berlaku di kalangan remaja perempuan sebelum dewasa atau semasa mengandung, ibu menyusukan bayi atau menopaus, ini adalah normal dan dipanggil Amenorea secara fisiologikal. Oligomenorea adalah keadaan merujuk kepada haid yang tidak tetap, biasanya 3 atau 6 bulan sekali dan berpanjangan.
Amenorea primer ialah kegagalan menstabilkan kedatangan haid. Ia dikategorikan sebagai tidak normal, jika remaja perempuan tiada perkembangan fizikal secara seksual pada usia 14 tahun, atau remaja yang normal perkembangan fizikal dan seksualnya tetapi tidak datang haidnya pada umur 16 tahun. Amenorea primer hanya berlaku kepada kira-kira 3 remaja dalam per 1000.
Amenorea sekunder didenifisikan sebagai tidak datang haid berturut-turut selama 6 bulan bagi wanita yang kedatangan haidnya tetap setiap bulan. Amenorea sekunder juga menandakan gangguan pada sakit atau akibat yang umum.
Amenorrhoae sekunder berlaku kepada 3% remaja perempuan. Lebih 50% berlaku kepada peserta pelari jarak jauh dan lebih 44% penari balet .
Tanda dan Gejala
Banyak penyebab kemungkinan berlaku. Termasuklah:
  • Senaman yang melampau biasanya di kalangan ahli sukan - atlet.
  • Kurang berat badan yang teruk - hasil pemakanan yang tidak sempurna (berat dalam KG dibahagi dengan ketinggian dalam M²) kurang daripada 19 (kadar normal adalah 20 hingga 25 kg/m².
  • Tekanan perasaan yang teruk dan gangguan pada emosi
  • Gangguan kepada ovari untuk mengeluarkan telur
  • Pengambilan pelbagai jenis ubatan
  • Kesan sampingan apabila berhenti mengambil pil perancang keluarga
  • Sindrom Polisistik ovari iaitu keadaan terdapatnya multilple cysts pada ovari, mandul, obesiti dan gangguan hormon.
  • Penyakit yang lama dihidapi, atau aktiviti kelenjar tiroid yang kurang atau lebih
  • Hormon yang mengawal ovulasi dan haid yang dikeluarkan oleh kelenjar hypothalamus pada paras luarbiasa (yang seterusnya mengawal kelenjar pituitary).
Sebab lain amenorea termasuk:
  • Tiada vagina atau rahim atau keduanya semasa lahir
  • selaput dara yang menutup vagina keseluruhannya
Terdapat kes yang jarang berlaku di mana jantina sebenar kanak-kanak masih tidak dapat ditentukan kerana organ genitalnya tidak terbentuk dengan baik semasa lahir. 

Diagnosa
Ia bergantung kepada keadaan dan sebab berlaku. Bergantung kepada umur dan sejarah, selalunya ujian semasa hamil adalah langkah pertama yang perlu diambil sebelum meneruskan dengan penyiasatan yang lain.
Mengambil sejarah yang penuh, seperti sejarah keluarga , pekerjaan dan sejarah aktiviti, sejarah aktiviti seksual, gangguan emosi, perubahan berat badan dan sejarah perubatan lepas. Walau bagaimanapun, untuk menentukan hasil diagnosis pemeriksaan penuh sakit puan dan pelbagai ujian perlu dilakukan. Ujian ini termasuklah ujian darah untuk mengenal pasti paras pelbagai hormon. Ujian Fungsi tiroid mungkin diambil. Analisis koromosom perlu jika terdapat kesangsian jantina. Ultrasound, tomografi berkomputer (CT Scan) atau imbasan MRI akan menunjukkan sebarang keabnormalan alat kelamin. 
Rawatan
Rawatan akan bergantung kepada penyebab berlakunya Amenorea.
  • Amenorea berkaitan dengan senaman akan bertindakbalas kepada pengubahsuaian program senaman itu sendiri dan dengan memberi perhatian kepada pengambilan diet dan penjagaan berat badan.
  • Amenorea yang berkaitan dengan berat badan perlu diuruskan untuk mendapatkan berat yang normal dan bantuan pskiatrik mungkin diperlukan bagi mengatasi masalah gangguan emosi..
  • Dalam kes di mana organ genital tidak terbentuk dengan sempurna , mungkin pembedahan di perlukan
  • Bagi kes sindrom Polisistik ovari tindakbalas boleh berlaku dengan penurunan berat badan dan sekarang insulin-sensitising agen seperti metformin digunakan. Kekurangan hormon tiriod boleh dirawat dengan menggunakan hormon (thyroxine). Selaput dara yang menutup vagina keseluruhannya memerlukan pembedahan.

Pelalian HPV Apa dan kenapa

Pelalian HPV
Apakah Kanser Servik ? 
Kanser yang terjadi di bahagian pangkal rahim (servik). Kanser ketiga paling kerap dikesan di kalangan wanita selepas kanser payudara dan kanser kolorektal. Di anggarkan 1,500 wanita Negara ini disahkan mendapat kanser servik setiap tahun. Kanser servik menyumbang 6% dari jumlah kematian akibat kanser di kalangan wanita.
Apakah Human Papilloma Virus (HPV) ? 
HPV adalah penyebab utama kanser servik. Setiap wanita berisiko dijangkiti HPV selepas berkahwin.
Apakah pelalian HPV ? 
Pelalian yang diberi untuk mencegah kanser servik akibat jangkitan HPV. Pelalian ini diberi secara suntikan di lengan sebanyak 3 kali dalam tempoh 6 bulan mengikut jadual berikut :

Suntikan pertama - tarikh pelalian pertama diberi di sekolah/kllinik.
Suntikan kedua - 1 bulan selepas suntikan pertama.
Suntikan ketiga - 6 bulan dari suntikan pertama.

Vaksin yang digunakan untuk pelalian ini tidak mengandungi produk yang meragukan.

Kenapa Anak Gadis 13 Tahun Saya Perlu Mendapatkan Pelalian HPV ? 

Anak gadis anda berisiko untuk dijangkiti HPV. Pelalian ini boleh melindunginya dari mendapat kanser servik di masa akan datang.

Pada masa ini Kementerian Kesihatan Malaysia hanya memberi pelalian secara percuma kepada semua gadis 13 tahun.

Di Mana Anak Gadis Saya Boleh Mendapatkan Pelalian HPV ? 
Jika anak gadis anda bersekolah, pelalian akan diberi di sekolah. Jika anak gadis anda tidak bersekolah, dapatkannya di klinik kesihatan.

Bagaimana Sekiranya Anak Gadis Saya Yang Tidak Termasuk Di Dalam Kumpulan Sasar Ini Hendak Mendapatkan Pelalian ? 
Pelalian ini hanya diberi kepada remaja perempuan yang bersekolah di tingkatan 1 dan/atau berumur 13 tahun pada tahun semasa. Bagi golongan yang tidak termasuk dalam kumpulan yang disasarkan, pelalian ini boleh didapati di klinik dan hospital swasta dengan kadar caj tertentu.

Apakah Peranan Saya Sebagai IbuBapa/Penjaga ? 
Beri persetujuan bertulis untuk melayakkan anak anda menerima pelalian secara percuma. Pastikan anak anda melengkapkan tiga suntikan pelalian secara percuma. 3 suntikan pelalian boleh memberi perlindungan optima untuk gadis anda dari jangkitan HPV.

Siapa Yang Akan Memberi Suntikan ?
Suntikan akan diberikan oleh anggota kesihatan yang bertauliah dan terlatih.

Adakah Vaksin Ini Halal?
Vaksin ini tidak mengandungi produk yang meragukan.

Adakah Anak Gadis Saya Akan Mengalami Masalah Selepas Disuntik ? 
Pelalian ini adalah selamat. Seperti pelalian lain, anak gadis anda mungkin mengalami sakit atau bengkak di tempat suntikan. Sekiranya, anak gadis anda mengalami masalah lain akibat suntikan, sila dapatkan rawatan susulan di klinik atau hospital yang berdekatan.

Adakah Pelalian Ini Akan Menyebabkan Anak Saya Mandul ? 
Tidak. Pelalian ini tidak menyebabkan kemandulan.

Apakah Keadaan Yang Tidak Membolehkan Anak Gadis Saya Diberi Pelalian HPV ? Anak anda tidak akan diberi pelalian atas sebab-sebab berikut : 
  • Pernah mengalami kesan sampingan teruk setelah menerima suntikan pertama atau suntikan kedua.
  • Pernah mengalami alahan teruk yang perlu dirawat di hospital.
  • Hamil.

Apakah Tindakan Saya Jika Anak Saya Terlepas Tarikh Temujanji Pelalian ? 
Jika anak anda tidak sihat atau tidak hadir ke sekolah pada hari pelalian, tarikh temujanji baru akan diberi oleh anggota Kesihatan.

Maklumat tambahan : 
Maklumat tambahan berkaitan pelalian HPV boleh didapati melalui : 
  • Doktor atau anggota Kesihatan di sekolah atau di klinik.
  • Layari www.myhealth.gov.my atau www.moh.gov.my.
  • Hubungi Hotline HPV : 1 - 800 - 88 - 1478 

BANJIR DAN KESIHATAN ANDA


Garis Panduan Penjagaan Kesihatan Semasa Banjir
Banjir adalah keadaan di mana air telah naik melebihi paras bahaya dan diisytiharkan banjir oleh pihak berkuasa.
Masalah-Masalah Yang Berlaku Semasa Banjir
Banjir boleh mendatangkan masalah / bahaya seperti :

  • Lemas
  • Terdedah kepada berbagai jenis kecederaan seperti terpijak benda tajam atau terjatuh ke dalam longkang
  • Terkena renjatan elektrik
  • Terdedah kepada jangkitan penyakit seperti taun, cirit-birit dan demam kepialu

Tindakan Yang Perlu Anda Lakukan Semasa Banjir

  • Jauhi tempat-tempat yang dilanda banjir
  • Pindah segera ke pusat pemindahan apabila diarah oleh pihak berkuasa
  • Matikan semua punca bekalan elektrik apabila berpindah
  • Tidak menyentuh dawai elektrik yang terjatuh di kawasan banjir
 
Bagaimana Kita Boleh Menjaga Kesihatan Ketika Berada Di Pusat Pemindahan?

  • Sentiasa minum air yang telah dimasak
  • Makan makanan yang dimasak sahaja. Elakkan memakan makanan mentah seperti    sayur-sayuran yang belum dimasak dan ulam-ulaman
  • Tudung semua makanan dan jangan makan makanan yang terdedah
  • Jaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling :
     - Basuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas
     - Guna tandas yang sempurna
     - Buang sampah di tempat yang betul
  • Dapatkan suntikan vaksin mengikut nasihat doktor
  • Dapatkan rawatan segera sekiranya anda mengalami cirit-birit dan muntah-muntah

Hati-hati, Ibu Sebar Bakteria, Virus kepada Bayi

Go to fullsize image

Bakteria dan virus boleh disebarkan ibu kepada bayi ketika melahirkannya dan pada minggu pertama kehidupannya. Walaupun banyak daripadanya tidak mengancam kesihatan bayi, ada sesetengahnya boleh menyebabkan masalah serius termasuk membabitkan kematian.

Ketika di dalam kandungan, bayi membesar dalam persekitaran yang ‘distenil’, tetapi sebaik saja membran ketuban merekah, mikrob masuk ke dalam persekitaran itu. Ia kemudian mendedahkan bayi kepada bakteria dan virus buat pertama kalinya.

Sebaik saja bayi meluncur keluar daripada rahim menerusi pangkal lahir dan masuk ke saluran peranakan, bayi bersalut dengan organisma yang berada di vagina atau kulit ibu. Ini termasuk bakteria yang menyebabkan penyakit kelamin.

Cecair tubuh termasuk darah yang melindungi bayi mendedahkan mereka kepada jangkitan seperti HIV atau hepatitis B dan C.

Laluan usus bayi akan ‘dijajah’ sebaik saja kelahiran. Dalam beberapa hari, bakteria seperti E-coli, enterococcus dan bifidobacterium muncul pada najisnya. Keadaan ini penting kerana ia membantu menstimulasi perkembangan sistem imun bayi.

Bakteria ini datang daripada ibu atau tempat lain dalam persekitaran seperti wad bersalin. Bayi yang lahir menerusi pembedahan tidak melalui saluran peranakan justeru dia lambat terdedah kepada bakteria sebegini.

Sentuhan kulit ke kulit antara ibu dan bayi, ketika menyusu atau sewaktu ibu memegang bayi juga menyebabkan banyak bakteria dipindahkan kepada bayi. Sekitar 30 peratus bayi yang baru lahir terdedah kepada bakteria staphylococcus pada minggu pertama kelahirannya, tetapi bakteria pada kulit tidak mengancam kesihatan.
Go to fullsize image
Bagaimanapun, kadang kala bayi terdedah kepada bakteria yang bahaya seperti MRSA (methicillin resistant staphylococcus aureus) atau streptococcus kumpulan B (GBS).

Seorang daripada empat wanita membawa bakteria ini dalam vaginanya walaupun tiada simptom. Kadangkala dia tidak tahu kewujudan bakteria itu. Bayi terdedah kepada bakteria berkenaan ketika sakit hendak bersalin atau ketika dilahirkan. Di United Kingdom, GBS adalah jangkitan mengancam nyawa yang paling biasa di kalangan bayi yang baru lahir.

Faktor yang menyebabkan GBS dipindahkan:

Kelahiran pra matang (sebelum 37 minggu).
Air ketuban pecah 18 atau 24 jam sebelum bersalin.
Demam hingga 38 darjah celsius.
GBS dikesan dalam air kencing ibu ketika hamil.
Anak sebelumnya berhadapan dengan jangkitan GBS.
Walaupun kebanyakan bayi yang terdedah dengan GBS tidak berhadapan dengan sebarang masalah, setiap tahun sekitan 700 bayi diserang pneumonia dan meningitis disebabkan jangkitan itu. Satu daripada 10 bayi dilaporkan meninggal dunia.

GBS sukar dibasmi tetapi jika seseorang wanita itu dikenal pasti memiliki risiko tinggi memindahkan jangkitan kepada bayinya, dia sepatutnya diberikan antibiotik sebaik saja proses melahirkan bermula.Selalunya ia cukup untuk mencegah jangkitan daripada ibu kepada bayi.

Virus Herpes simplex

Virus ini boleh menyebabkan penyakit kelamin. Jika menjangkiti bayi, ia boleh membawa kepada komplikasi seperti cerebral palsy dan buta. Laluan paling mendedahkan bayi dengan virus ini adalah saluran peranakan tetapi jangkitan boleh juga tenjadi di dalam rahim atau selepas dilahirkan.

HIV

HIV boleh dipindahkan daripada ibu kepada bayi ketika hamil, sakit bersalin atau ketika menyusukan bayi. Jika ubat antiviral tidak diberi, bayi yang dilahirkan wanita positif HIV berisiko untuk dijangkiti hingga 30 peratus. Bayi akan dijangkiti ketika ibu hamil atau ketika melahirkan.

Jangkitan daripada ibu kepada anak boleh dibendung dengan penggunaan ubat tertentu, melahirkan bayi dengan pembedahan dan memberi anak susu formula.

Hepatitis B

Wanita yang membawa virus hepatitis B berisiko menjangkitkan anak mereka dengan virus ini ketika melahirkannya. Selain itu, ia juga boleh berjangkit melalui sentuhan dengan darah atau cecair tubuh yang lain.

Amalan Pemakanan Yang Kurang Baik Boleh Merendahkan IQ Kanak-kanak

Kanak-kanak sedang makan burger
Diet yang banyak makanan telah diproses ketika berusia tiga tahun dikaitkan dengan IQ lebih rendah ketika berusia lapan tahun setengah.

Diet yang tinggi lemak, gula dan makanan telah diproses merendahkan IQ kanak-kanak, rumus satu kajian. Laporan itu berkata tabiat pemakanan pada usia tiga tahun membentuk prestasi otak apabila ia menjadi lebih berusia.

Diet yang banyak makanan telah diproses ketika berusia tiga tahun dikaitkan secara langsung dengan IQ lebih rendah ketika berusia lapan tahun setengah, menurut satu kajian berpusat di Bristol terhadap ribuan kanak-kanak Britain.

The Avon Longitudinal Study of Parents and Children telah membuat pemerhatian terhadap kesihatan dan kesejahteraan jangka masa panjang kira-kira 14,000 kanak-kanak.

Makanan terutamanya yang kaya dengan vitamin dan nutrien telah membantu meningkatkan prestasi otak apabila kanak-kanak membesar, nyata laporanJournal of Epidemiology and Community Health.

Para penyelidik berkata diet kanak-kanak kecil itu boleh mengubah tahap IQ pada zaman kanak-kanak nanti, sekalipun tabiat pemakanan diperbaik dengan peningkatan umur.

"Ini mencadangkan bahawa sebarang kesan kognitif/kelakuan berkaitan dengan tabiat pemakanan dalam awal alam kanak-kanak mungkin berterusan hingga ke zaman kanak-kanak, walaupun ada perubahan berikutnya pada pengambilan makanan," nyata tulisan tersebut.

Semasa kajian, ibu bapa menjawab soal selidik yang memperincikan jenis-jenis dan kekerapan makanan dan minuman yang diberikan kepada anak-anak mereka apabila mereka berusia tiga, empat, tujuh dan lapan tahun setengah.

Setiap peningkatan satu mata dalam markah kajian corak pemakanan (satu rekod pengambilan lemak terproses) dikaitkan dengan kemerosotan 1.67 mata IQ.

Otak membesar pada kadar paling pantasnya semasa tiga tahun pertama kehidupan.

"Ia adalah mungkin pemakanan yang baik sepanjang tempoh ini boleh menggalakkan pertumbuhan optimum otak," tambah laporan itu.

Pengarah penyelidikan The School Food Trust, Michael Nelson, berkata: "Dengan kira-kira 23 peratus daripada kanak-kanak yang mula bersekolah terlebih berat atau obes, ia adalah sangat jelas bahawa pilihan yang menyihatkan dalam perkembangan awal mereka itu adalah memberi mereka kebaikan, bukan sahaja untuk mengekalkan berat yang sihat semasa mereka membesar, tetapi sebagaimana bukti ini menunjukkan, ia juga untuk meningkatkan kebolehan mereka untuk mencapai keputusan yang baik di sekolah.

"Penemuan ini juga menunjukkan pentingnya membantu semua yang terlibat dengan perkembangan awal kanak-kanak untuk mendapat maklumat dan nasihat yang mereka perlukan berkenaan pemakanan yang baik."

Tidur Terlalu Sedikit Boleh Membahayakan Jantung Anda

Go to fullsize image
Tidak cukup tidur boleh meningkatkan risiko anda untuk angin ahmar (strok) dan serangan jantung.

Itulah penemuan para penyelidik Britain yang menganalisa data yang diperoleh dari lebih daripada 470,000 orang dari lapan buah negara, termasuk Amerika Syarikat.

"Jika anda tidur kurang daripada enam jam semalaman dan mengalami tidur yang terganggu, anda 48 peratus lebih berkemungkinan untuk mendapat atau mati kerana sakit jantung dan 15 peratus lebih kemungkinan untuk mendapat atau mati kerana strok," kata Dr. Francesco Cappuccio, dari Warwick Medical School di England, seorang pengarang bersama penyelidikan tersebut, dalam hebahan berita di University of Warwick.

"Corak tidur lewat malam dan bangun awal pagi sebenarnya adalah bom jangka untuk kesihatan kita, jadi anda kena bertindak sekarang untuk mengurangkan risiko anda untuk mendapat penyakit yang mengancam nyawa ini," beliau menambah.

Dr. Michelle Miller, penulis bersama kajian dengan Dr. Cappuccio, menjelaskan dalam hebahan berita itu yang "tidur sebentar kronik menghasilkan hormon-hormon dan bahan kimia dalam badan yang meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit jantung dan angin ahmar , dan keadaan lain seperti tekanan darah dan kolesterol yang tinggi, kencing manis dan obesiti."



Go to fullsize image

Kajian itu telah diterbitkan pada 8 Febuari dalam European Heart Journal.

Segala pergelutan hidup/kerja dalam kehidupan hari ini menyebabkan ramai dari kita menukarkan masa tidur yang berharga dengan bekerja untuk memastikan kita siap semua kerja yang diberikan kepada kita.

"Tetapi dengan berbuat demikian" kata Dr. Cappuccio, "kita meningkatkan risiko mendapat strok atau penyakit kardiovaskular yang mengakibatkan, contohnya serangan jantung."

Mendapat tujuh jam tidur semalaman melindungi kesihatan dan mengurangkan risiko anda untuk mendapat penyakit kronik, nasihat beliau.


KALAU TIDO TERLEBIH PUN BAHAYA GAK!!!!