id=khairul4189">

Saturday, February 19, 2011

Migrain Bukan Sakit Kepala

Migrain, berbanding dengan sakit kepala, boleh menyebabkan kesakitan yang melemahkan tubuh bagi ramai orang yang menghidapnya, yang boleh berlarutan selama berjam-jam dan adakalanya berhari-hari. Sakit kepala, sebaliknya, tidaklah sebagaimana teruk atau kroniknya migrain, tetapi ia juga tidak selesa sebagaimana migrain.


Menurut Yayasan Penyelidikan Migrain (Migraine Research Foundation), migrain boleh diiringi oleh beberapa gejala lain termasuk: gangguan penglihatan, rasa loya, muntah, pening, menjadi sangat sensitif pada bunyi, cahaya, sentuhan dan bau, dan rasa menyengat atau kebas pada bahagian 

Tuesday, February 15, 2011

Bisul



BISUL adalah masalah jangkitan biasa dialami setiap orang sama ada kanak-kanak atau orang dewasa. Jangkitan bermula apabila bakteria atau parasit pada kulit merebak ke lapisan dalaman kulit menyebabkan ia kemerahan, bengkak, berisi nanah dan menyakitkan. Jenis bakteria paling biasa menyebabkan bisul pada kulit dikenali sebagai Staphylococcus Aerues.

Individu tertentu boleh mengalami masalah bisul atau jangkitan begini akibat diabetes, amino yang terjejas, HIV, tercedera serta imuniti yang rendah terutama pada kanak-kanak dan warga tua.
Pakar Perunding Pembedahan Ortopedik, Pusat Perubatan Prince Court, Dr Yong Chee Khuen, berkata biasanya bisul berlaku disebabkan kecederaan atau kemalangan yang tidak dirawat sempurna dengan kadar segera hingga menyebabkan terbentuknya ulser atau keradangan dalam kulit sehingga dijangkiti bakteria.
 
Simptom utama proses keradangan atau jangkitan adalah kemerahan, panas, bengkak dan rasa sakit. Ia bukan saja terbentuk pada sebarang tisu pejal pada permukaan kulit, malah sering juga berlaku pada organ dalaman seperti paru-paru, otak, buah pinggang dan tonsil.
Sekiranya jangkitan berlaku sehingga terbentuk bisul, rawatan pilihan ialah pembedahan. Begitupun, sebelum pembedahan dijalankan, antibiotik akan diberi selain ujian darah bagi mengenal pasti masalah lain.
Bagi kanak-kanak yang lebih gemar berdiam diri dan tidak tahu di mana lokasi jangkitan sebenar, imbasan MRI dan CT akan dijalankan.
Bisul disebabkan amino yang terjejas pula mampu merebak melalui darah. Di sini darah berfungsi sebagai lebuh raya dan menyebarkan bakteria ke seluruh tubuh. Oleh itu, remaja yang tidak menjaga kebersihan diri pasti akan terkena jangkitan ini.
Bagaimanapun, punca paling lazim adalah sifat kulit itu sendiri yang mudah terdedah kepada anasir yang tidak baik. Kulit bukan saja organ tubuh paling besar, malah berfungsi sebagai mekanisme pertahanan diri yang penting.

Setiap inci kulit diseimbangkan dengan bakteria baik dan bakteria tidak baik. Bakteria baik tidak akan membawa sebarang masalah tetapi sebaik saja tubuh kekurangan imuniti atau ketahanan diri, kecederaan kecil saja sudah mampu menyebabkan jangkitan. Tidak dinafikan kebersihan diri cukup penting tetapi perlu diingat terlalu bersih juga tidak baik kerana kita akan membunuh kedua-dua bakteria ini.
Jelas Dr Yong lagi, bisul yang biasa dan tidak serius boleh dirawat menggunakan antibiotik dan pembedahan. Tapi bagi bisul disebabkan amino yang terjejas, boleh merebak dengan cepat pada tisu dalam tubuh menyebabkan kegagalan beberapa organ dalaman. Dalam apa juga keadaan, pencegahan adalah perkara terbaik termasuk penjagaan kebersihan diri yang rapi dan imuniti diri lebih tinggi.
“Sekiranya simptom awal seperti merah, bengkak, sakit dan demam berlaku, terus berjumpa doktor bagi mengelak jangkitan merebak lebih ke dalam kulit.

“Di rumah, sebagai langkah awal ibu bapa boleh mencuci luka dengan menggunakan air panas, antiseptik dan iodin. Namun jika ia semakin membengkak, pesakit akan mula berasa tidak sihat, demam, luka menjadi kemerahan dan mula merebak, cepatlah berjumpa doktor,” katanya.

Dari segi pemakanan, mengamalkan diet seimbang disarankan bagi mempercepatkan penyembuhan.
“Terlalu banyak pantang larang dalam masyarakat seperti ayam, udang, ikan dan telur yang dipercayai menyebabkan kegatalan. Ironinya untuk sembuh, kita memerlukan hemoglobin, albumin serta Vitamin C dan semua nutrien ini terkandung dalam diet yang disebutkan itu.

"Perlu diingat, bisul pada kebanyakan bahagian tubuh agak sukar untuk sembuh dengan sendirinya. Kerana itu, sekiranya tanda awal bisul muncul, rawatan perubatan segera perlu diberikan," katanya.

OSTEOARTRITIS (OA)

OSTEOARTRITIS (OA) adalah sejenis radang sendi atau artritis yang disebabkan kerosakan dan seterusnya kehilangan tulang rawan sesuatu sendi. Tulang rawan adalah struktur yang terbentuk daripada protein dan berfungsi sebagai ‘bantal’ (pelapik) antara tulang yang membentuk sendi.

OA juga dikenali sebagai artritis degeneratif. Di antara lebih daripada 100 jenis artritis yang berbeza keadaannya, OA paling kerap terjadi membabitkan 10 hingga 20 peratus orang dewasa di Malaysia.

OA lebih kerap terjadi dengan peningkatan usia; bagi lelaki masalah biasanya bermula sebelum 45 tahun dan selepas 55 tahun bagi wanita. Insiden yang lebih tinggi berlaku pada penduduk Jepun manakala orang kulit hitam Afrika Selatan, India Timur dan selatan China mempunyai jumlah insiden yang rendah.

Kenapa ia terjadi?

OA primer berlaku disebabkan proses penuaan. Apabila meningkat tua, kandungan air di dalam tulang rawan berkurangan dan protein yang membentuk tulang rawan itu akan merosot, menyebabkan permukaan tulang rawan menggelupas dan merekah lalu membentuk alur halus. Dalam kes yang serius, tulang rawan yang melitupi sendi rosak teruk sehingga mendedahkan tulang yang membentuk persendian berkenaan.

Penggunaan berulang kali sendi yang haus selama beberapa tahun boleh menyebabkan radang berlaku pada tulang rawan dan sendi menjadi bengkak serta sakit. Kerosakan tulang rawan menyebabkan tulang sendi bersentuhan dan bergeseran. Ia membuatkan rasa sakit dan mengehadkan pergerakan sendi. Radang yang berlaku juga merangsang pembentukan tulang baru (taji, juga disebut sebagai osteofit) di sekeliling sendi.

OA sekunder pula disebabkan penyakit atau keadaan lain seperti obesiti, trauma berulang dan pembedahan ke atas struktur dalam sendi, kecacatan kongenital (sejak lahir), gout dan kencing manis. Obesiti menyebabkan OA dengan meningkatkan tekanan mekanikal kepada tulang rawan. Pada usia emas, obesiti menjadi faktor risiko paling kuat untuk OA sendi sendi lutut.

Kejadian OA sendi lutut di kalangan atlit angkat berat dipercayai sebahagiannya disebabkan bebanan berat badan yang tinggi. Trauma berulang pada tisu sendi (ligamen, tulang, dan tulang rawan) diyakini menyebabkan OA lutut awal di kalangan pemain bola sepak. Bagaimanapun, risiko OA sendi lutut tidak meningkat di kalangan atlit pelari jarak jauh.

Sesetengah orang lahir dengan sendi tidak normal (ketidaknormalan kongenital) membuatkan tulang rawannya cepat haus, mengalami degenerasi awal dan kehilangan tulang rawan sendi. OA sendi pinggul selalunya dikaitkan dengan kecacatan struktur sendi pinggul yang terjadi sejak lahir.

Gangguan hormon seperti diabetes dan hormon pertumbuhan tidak teratur juga dikaitkan dengan kehausan awal tulang rawan dan OA sekunder.

Gejala OA

Tidak seperti radang sendi lain yang disebabkan penyakit sistemik seperti artritis reumatoid dan lupus, OA tidak memberi kesan pada organ lain dalam badan. Gejala yang paling kerap dialami adalah sakit pada sendi yang terbabit selepas digunakan. Sakit ini biasanya paling teruk pada lewat petang atau malam. Sendi akan bengkak, berasa panas dan berkeriut bila digerakkan.

Sendi juga berasa kaku dan sakit apabila pesakit hendak digerakkan setiap kali selepas berehat. Dalam kes OA yang teruk (tulang rawan rosak keseluruhannya dan menyebabkan tulang persendian bergeseran sesama sendiri), pesakit akan sentiasa berasa sakit walaupun ketika berehat dan pergerakan sendi selalunya terhad.

Gejala OA boleh berbeza antara pesakit. Sesetengah pesakit menjadi lesu atau lemah disebabkan sakit sendi tetapi ada yang hanya menunjukkan gejala ringan sekali sekala walaupun ujian sinar-X pada sendi mereka menunjukkan kerosakan yang teruk.

Malah gejala ini juga mungkin ‘hilang’ dan tidak menyebabkan rasa sakit selama beberapa tahun di kalangan pengidap OA pada sendi jari tangan dan lutut.

OA sendi lutut selalunya berkait dengan obesiti, sejarah kecederaan lutut berulang dan pembedahan. Keadaan ini menyebabkan kerosakan degenerasi tulang rawan sendi lutut yang berterusan sehingga kaki menjadi bengkok (dipanggil ‘bowlegged’ dan pesakit berjalan terhincut-hincut.

Pada sesetengah pesakit gejala sakit, jalan terhincut dan sendi yang tidak berfungsi tidak lagi boleh dirawat dengan ubat dan secara konservatif. Inilah sebabnya OA yang teruk adalah antara alasan untuk pembedahan ganti sendi keseluruhan.

OA yang terjadi pada sendi kecil seperti jari tangan dan kaki selalunya menyebabkan pembentukan bonjolan tulang di sekitar sendi berkenaan. Bonjolan tulang klasik pada sendi hujung jari tangan ini dikenali sebagai nodul Heberden sempena nama seorang doktor Britain yang terkenal.

Bonjolan lain yang biasa terdapat pada sendi tengah jari yang terkena OA ialah nodul Bouchard (doktor Perancis yang terkenal dalam kajian penyakit radang sendi dalam lewat 1800-an).

Nodul Heberden dan Bouchard selalunya tidak berasa sakit tetapi pergerakan sendi yang terbabit kebanyakannya terhad. Ciri ini membantu dalam membuat diagnosis. OA pada sendi ibu jari kaki selalunya membentuk bonjolan tulang yang dipanggil bunion dan ia kerap menyebabkan kesakitan apabila bergesel dengan kasut ketika berjalan.

Rawatan

Selain penurunan berat badan dan mengelak daripada melakukan aktiviti lasak yang memberi tekanan berlebihan pada tulang rawan sendi, tidak ada rawatan khusus untuk memberhentikan degenerasi tulang rawan atau membaikpulih tulang rawan yang sudah rosak akibat OA. Matlamat dalam rawatan OA adalah untuk meredakan sakit dan radang sekitar sendi serta mengekalkan fungsi sendi berkenaan.

Sesetengah pesakit OA mempunyai sakit yang sangat minimum dan tidak memerlukan rawatan perubatan. Sesetengahnya pula mendapat keuntungan daripada teknik rawatan konservatif seperti rehat, latihan, kawalan diet dengan penurunan berat badan, terapi fizikal, terapi pekerjaan dan penggunaan peralatan sokongan mekanikal. Langkah sangat penting sekiranya sendi lutut yang sakit.

Bahkan penurunan berat badan yang sederhana sudah cukup untuk membantu mengurangkan gejala OA sendi lutut. Ubat yang digunakan adalah untuk melengkapkan langkah fizikal seperti disenaraikan di atas.

Ubat boleh digunakan secara topikal, diminum atau disuntik ke dalam sendi untuk mengurangkan keradangan dan sakit. Jika langkah konservatif gagal mengawal rasa sakit dan memperbaiki fungsi sendi, maka doktor akan mencadangkan pembedahan.

Latihan selalunya tidak memburukkan OA jika dilakukan pada tahap yang tidak menyebabkan rasa sakit. Latihan jasmani boleh membantu pesakit dengan beberapa cara:

# Latihan menguatkan sokongan otot sekeliling sendi. Ia juga mencegah sendi menjadi kaku, meningkat dan mengekalkan mobiliti sendi. Ia juga membantu menurunkan berat badan dan meningkatkan daya tahan badan.

# Menyapu minyak panas sebelum dan menerap bungkusan sejuk selepas latihan boleh menolong mengurangkan sakit dan radang. Berenang adalah latihan yang sangat sesuai untuk pesakit OA kerana ia membenarkan pesakit melakukan latihan dengan impak tekanan minimum terhadap sendi lutut. Latihan popular lain termasuk berjalan kaki, berbasikal pegun dan latihan ringan.

Pakar terapi fizikal boleh menyediakan peralatan sokongan seperti alat pemegang anggota (splint), tongkat dan alat bantuan berjalan untuk mengurangkan tekanan pada sendi. Pakar pemulihan pekerjaan boleh menilai keperluan aktiviti harian dan mencadangkan peralatan tambahan yang boleh membantu pesakit di rumah atau tempat kerja.

Dalam kebanyakan kes, ubat tahan sakit seperti acetaminophen sudah mencukupi. Ia jarang menyebabkan kesan sampingan pada perut dan biasanya ia menjadi ubat pilihan awal merawat pesakit tua. Ubat untuk merehatkan otot yang kejang boleh juga diberikan untuk sementara.

Krim penghilang sakit seperti methyl salicyte juga boleh disapukan untuk menghilangkan sakit yang sedikit. Rawatan lain termasuk losen anti radang, diclofenic (gel Voltaren) dan tampalan diclofenac.

Ubat anti keradangan bukan steroid (NSAID) seperti ibuprofen dan naproxen digunakan untuk mengurangkan sakit dan radang dalam sendi. Kesan sampingan yang paling kerap terjadi adalah gangguan usus dan perut seperti gastrik, cirit-birit, ulser dan perdarahan. Kesan sampingan lain bertambah pada pesakit tua. Ubat terbaru dipanggil COX-2 inhibitors dapat mengurangkan kesan toksik kepada perut dan usus. Sebaiknya ubat ini diambil ketika hendak melakukan aktiviti atau selepas melakukan aktiviti yang kebiasaannya menyebabkan rasa sakit.

Rawatan alternatif menggunakan makanan tambahan seperti glukosamine dan chondroitin boleh mengu rangkan sakit dan sendi kaku. Ia boleh didapati di farmasi tanpa preskripsi doktor. Kajian awal menunjukkan penggunaan makanan tambahan ini memberi kesan sedikit dalam menghilangkan kesakitan pada OA yang teruk.

Pesakit yang mengambil ubat pencair darah perlu berhati-hati apabila mengambil chondroitin kerana ia boleh mencairkan lagi darah dan menyebabkan pendarahan. Minyak ikan tambahan terbukti mempunyai kesan anti radang dan pengambilan yang banyak mampu mengurangkan radang dalam sendi.

Untuk kes yang tidak dapat dirawat dengan fisioterapi dan ubat, suntikan asid Hialuronik ada kalanya boleh membantu, terutama jika belum menjalani pembedahan. Ia berfungsi secara sementara dengan meningkatkan kualiti cecair sinovial, menambahkan pelincir dalam sendi dan meningkatkan kemampuan kesan impak pada permukaan sendi.

Pembedahan hanya dilakukan pada pesakit yang mengidap OA yang sangat teruk dan tidak menunjukkan kesan dengan rawatan konservatif. Pembedahan artroskopik dilakukan apabila terdapat kecederaan tulang rawan. Pembetulan Osteotomi adalah pembedahan yang boleh menegakkan semula jajaran sendi lutut. Pembedahan penggantian sendi keseluruhan boleh menghilangkan kesakitan dan meningkatkan fungsi lutut. 

Masalah Bau Badan

MASALAH ketiak dan kaki berbau memang merisaukan. Lebih memalukan apabila ia mengganggu orang lain. Hakikatnya semua orang punya bau badan yang tersendiri kerana ia berpunca daripada proses perpeluhan. Berpeluh adalah sebahagian daripada proses tubuh dan kita perlu faham mengapa tubuh menghasilkan peluh.

Ada dua jenis kelenjar menghasilkan peluh, pertama kelenjar Eccrine dan kedua kelenjar Apocrine.

Kelenjar Eccrine bertanggungjawab terhadap proses berpeluh di mana ia bersambung terus hingga permukaan kulit untuk menghasilkan peluh. Ia bertujuan mengawal suhu badan selain membuang bahan-bahan buangan seperti urea, sodium, kalsium atau elektrolit.

Pakar Perubatan dan Dermatologi Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Noraziah Abd Kadir Jailani, menjelaskan peluh melalui kelenjar Eccrine sifatnya tulen, jernih seperti air dan tidak menghasilkan bau kerana akan terus keluar ke permukaan kulit dan meluap.

Kelenjar Apocrine pula merembeskan cecair yang lebih likat dan agak keruh serta menimbulkan masalah jika ia lebih banyak dari kelenjar Eccrine.

Kelenjar Apocrine ada pada bahagian tubuh yang banyak folikel rambut seperti ketiak serta tempat sulit seperti kemaluan. Kelenjar ini mengandungi sebum, bahan berlemak di mana peluh dirembeskan. Sebum pula bahan organik yang tersimpan dalam kelenjar Apocrine.

Di sini lebih mudah untuk bakteria memecah masuk protein dalam rembesan peluh, tidak seperti kelenjar Eccrine. Apabila protin dipecah masuk dalam peluh oleh bakteria, ketiak atau kaki akan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.

Punca bau badan boleh disebabkan bahan buangan terkumpul dalam badan akibat proses pencernaan tidak sempurna. Pengambilan pelbagai jenis makanan, majoritinya digunakan untuk tubuh sementara selebihnya ditukar ke dalam bentuk sisa buangan atau toksin. Toksin ini disingkirkan sekiranya ginjal, hati dan saluran penghadaman usus berfungsi dengan baik.

Atas sebab tertentu seperti sembelit, sekiranya sistem pencernaan tubuh tidak berfungsi dengan betul, toksin ini boleh kekal dalam tubuh. Individu yang punya masalah ini dan makan banyak daging, telur, ikan dan kekacang khususnya akan mempunyai bau badan yang busuk. Makanan ini mengandungi banyak Choline yang tidak mudah melalui proses metabolisme.

Banyak minum kopi atau minuman berkafein dan makanan berempah yang mengandungi bawang dan bawang putih juga berpotensi menyebabkan bau pada ketiak, tidak kira lelaki atau wanita.

Punca lain bau badan termasuk masalah ginjal, hati, hypoglycemia (kurang gula dalam darah), jangkitan kuman, kencing manis dan tiroid. Ia dikesan apabila individu yang pada mulanya tidak punya masalah bau, tiba-tiba mengalami perubahan bau badan yang mengganggu. Bau badan juga disebabkan oleh faktor genetik dan kelenjar yang sangat aktif.

Punca kaki berbau tidak banyak beza dengan bau badan. Selain kaki yang kuat berpeluh, bau kaki juga disebabkan memakai kasut atau sarung kaki yang tiada pengalihan udara sempurna dalam tempoh yang lama. Memandangkan kaki manusia dilitupi kelenjar peluh tebal, peluh pada kaki boleh bercampur dengan bakteria pada permukaan dan menghasilkan bau.

Bulu pada kaki terutama pada ibu jari mampu menyumbang kepada bau yang lebih pekat dengan menambah jumlah permukaan di mana bakteria boleh membiak. Bau kaki boleh dirawat dengan memilih kasut terbuka dan stokin dari bahan semula jadi seperti kapas dan bulu biri-biri.

Pastikan kaki sentiasa kering, guna talkum untuk kaki, jangan guna kasut yang sama dan elakkan tekanan emosi dengan melakukan senaman meditasi seperti yoga.

Antara cara merawat dan mengawal masalah bau ketiak pula ialah penggunaan cecair pencuci mengandungi 3 peratus hidrogen peroksida, menyembur pewangi dan penyembur anti peluh. Jika terlalu serius, pembedahan membuang kelenjar Apocrine pada tempat bermasalah boleh dilakukan selain laser serta suntikan botox.

Info: Cara mengawal bau badan
# Kerap mandi
# Pilih pakaian fabrik kapas dan longgar
# Elak pengambilan makanan tinggi choline (bawang putih, daging, rempah, kafein dan kekacang)
# Berhenti merokok.

Rahsia Awet Muda


Pernahkah anda terbayang bagaimana rasanya kalau anda menemui pancuran kemudaan (fountain of youth, betulkah terjemahannya?) setelah bertahun-tahun mengembara mencarinya. Saya tidak janjikan untuk memberikan anda air dari pancuran itu, tetapi apa yang saya akan bincang di sini rasanya tidak lari jauh.

Ya betul, anda boleh mendapat awet muda sekiranya anda sanggup melakukan perubahan untuk melawan proses penuaan. Tiada apa yang misteri berkenaan proses penuaan. Ia disebabkan oleh kemerosotan sel. Tubuh kita terbentuk dari berjuta-juta sel tersebut, yang masing-masing mempunyai jangka hayat selama dua tahun atau kurang. Sebelum sel tersebut mati, ia membiak. Sel baru mengalami perubahan yang pada asasnya, berlaku kemerosotan. Jadi bila sel kita bertukar, merosot, kita jadi tua.

Dr. Benjamin Frank mendapati bahawa sel yang mengalami kemerosotan boleh diremajakan semula jika diberikan bahan yang boleh menyuburkannya secara langsung, bahan seperti asid nukleid. Walaupun badan kita mengeluarkan asid nukleid, namun ianya tidak memadai. Bekalan dari luar diperlukan untuk melambatkan proses penuaan atau pun mengundurkannya.

Makanan yang kaya dengan asid nukleid adalah gandum tulen (wholemeal), bran, bayam, asparagus, cendawan, ikan, hati ayam, tepung oat dan bawang besar.

Penemuan terbaru dalam menangani proses penuaan adalah pengambilan makanan yang mengandungi anti-oksidan. Anti-oksidan yang kita biasa dengar dan ambil hari-hari ialah Vitamin C, Vitamin E, Selenium dan Karotena Beta. Ianya boleh diperolehi dari buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin. Anti-oksidan yang terkuat ialah antosianin; ia boleh diperolehi dari beri acai (sumber terkaya), blueberry, elderberry, delima, anggur merah dan beberapa jenis buah yang lain. Anti-oksidan yang lain ialah dari keluarga flavonoid; boleh diperolehi dari buah-buahan dan sayur-sayuran seperti elderberry, anggur merah, anggur ungu dan kobis ungu; Seterusnya ialah tanins; boleh diperolehi dari delima, teh hijau, pisang kaki, cranberry, strawberry dan blueberry. Selain dari yang disebut di atas, terdapat beberapa jenis anti-oksidan lain seperti Co-Q10 dan glutation.

Anti-oksidan membantu tubuh melawan serangan radikal bebas, molekul pemusnah yang merosakkan sel sihat dan juga menyerang kolagen (simen yang mencantumkan sel).

Dalam Persidangan Anti Penuaan yang diadakan beberapa tahun dahulu (saya lupa tahunnya), disimpulkan bahawa proses penuaan dapat diperlambatkan sekiranya kita mempunyai sistem imun yang optimum.

DatoĆ¢€™ Dr. S Harnam, Presiden Persatuan Perubatan Anti Penuaan Malaysia, dalam artikel yang disiarkan di dalam Anti-Aging Medical Therapeutics, Vol. 5, terbitan American Academy of Anti-Aging Medicine (2003) menyatakan penuaan disebabkan oleh kepupusan (atrofi) dan kerosakan sistem imun.

Nah, sekarang anda sudah tahu rahsianya. Ia mungkin berbeza dengan petua yang anda ketahui. Walau apa pun, masih tidak terlewat untuk anda menterbalikkan balang waktu dan memulakan pengembaraan anda.

Kesan Dari Radiasi Telefon Bimbit


Satu ujikaji radiasi telefon bimbit ke atas telor telah dijalankan. Bahan yang digunakan sebiji telur dan dua buah telefon bimbit. Persediaan adalah seperti gambar di bawah:

Panggilan di antara dua telefon diaktifkan untuk tempoh selama lebih kurang 65 minit. Hasilnya seperti berikut:

15 minit - tiada apa yang berlaku.
25 minit - telur mulai panas.
45 minit - telur telah panas.
65 minit - telur telah masak.





Gambar telur tersebut dipaparkan di bawah:

Rumusan: Radiasi dari telefon bimbit mampu untuk mengubah protein telur. Bayangkan apa yang ia dapat buat kepada protein otak anda apabila anda berbual untuk tempoh yang panjang menggunakan telefon bimbit.

Saya mengingatkan diri saya dan pembaca sekalian agar jangan berbual lama-lama melalui telefon bimbit.

Bagaimana dengan telefon bimbit yang disimpan di pinggang? Apakah ianya memberi kesan yang sama? Bagaimana pula dengan mereka yang menyimpan dua buah telefon, satu di kocek kanan dan satu di kocek kiri?

Monday, February 14, 2011

Mengelakkan Penipuan Kad Kredit

Penipuan kad kredit boleh mengakibatkan anda dan pengeluar kad kredit mengalami kerugian besar. Pengeluar kad kredit sentiasa mengambil sikap berwaspada terhadap penipuan ini dan telah mengambil langkah-langkah keselamatan untuk melindungi anda. Walau bagaimanapun, anda juga harus mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.

Lindungi kad kredit anda
  • Tandatangani kad kredit anda sebaik sahaja ianya diterima
  • Simpan kad kredit anda pada tempat yang sama di dalam dompet atau beg duit supaya, jika ia hilang atau dicuri, anda akan menyedarinya dengan serta- merta
  • Usah pinjamkan kad anda kepada sesiapa saja
  • Jangan berikan butir-butir kad kredit anda (contohnya nombor kad dan tarikh luput) kepada orang yang tidak dikenali kerana ada kemungkinan maklumat tersebut digunakan untuk membuat pembelian melalui telefon, pos atau Internet
  • Hafal nombor PIN anda dan jangan catatkan nombor PIN tersebut di belakang kad, menyimpannya di dalam dompet atau mendedahkannya kepada orang lain
  • Simpanlah nombor telefon pengeluar kad kredit anda supaya anda dapat menghubunginya dengan serta-merta untuk melaporkan sebarang kehilangan/ kecurian kad, urus niaga tanpa kebenaran atau pendedahan PIN kepada pihak ketiga
  • Pastikan anda telah memotong kad kredit yang telah luput kepada dua bahagian apabila anda menerima kad baru

Periksa transaksi kredit kad anda untuk mengelakkan urusniaga tanpa kebenaran
  • Semak semua butir-butir yang terdapat pada slip urus niaga sebelum menandatangani atau mengesahkan setiap urus niaga
  • Simpan semua slip urus niaga anda dan bandingkan dengan penyata bulanan anda sebaik sahaja ianya diterima
  • Maklumkan pengeluar kad caj anda dengan serta-merta jika terdapat sebarang kesilapan atau kemungkinan berlaku urus niaga tanpa kebenaran
  • Musnahkan semua slip-slip urus niaga sebelum anda membuangnya